Thursday 22 August 2013

Mandi Sunat Hari Jumaat


Dalam Islam, penghulu sekalian hari adalah hari Jumaat. Allah SWT tidak menjadikan sesuatu hari yang besar itu tanpa sebarang amalan khusus yang dapat menambahkan lagi ganjaran pahala kepada hambaNya. Sesungguhnya Allah SWT Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Menjadi kebiasaan kita rakyat di bumi Malaysia ini mandi pada setiap hari. Tidak terkecuali juga pada hari Jumaat. Kita mandi mempersiapkan diri untuk keluar rumah mencari rezeki.

Atau kalau bukan pada waktu pagi, kita akan mandi bila pulang ke rumah bagi membersihkan kotoran badan. Mandi dengan niat membersihkan badan mendapat pahala di sisi Allah.

Mandi sunat hari Jumaat adalah amalan khusus untuk hari Jumaat. Dengan mandi sunat hari Jumaat, kita akan mendapat ganjaran yang lebih berbanding dengan mandi biasa.

Apa yang dimaksudkan dengan mandi biasa? Mandi biasa, sebagaimana disebut tadi adalah mandi untuk membersihkan badan dari kotoran tetapi tidak diniatkan khusus dengan amalan mandi sunat tertentu seperti yang disyariatkan oleh Agama kita.

Antara amalan mandi sunat khusus ialah mandi sunat hari Raya Aidil (Eidul) Fitri dan mandi sunat Hari Raya Aidil Adha.

Walaupun kita rasa badan kita sudah bersih dengan mandi biasa, tetapi ia tetap tidak akan menyamai mandi khusus seperti mandi sunat hari Jumaat.

Jadi daripada kita mandi biasa pada hari-hari Jumaat, adalah lebih baik kita tukar kepada mandi Sunat Hari Jumaat. Ia adalah sunnah Baginda Nabi saw yang sudah pasti mempunyai kebaikan, kelebihan dan ganjaran tersendiri.

Mungkin ada yang tidak pasti bagaimana mandi sunat Hari Jumaat? Apakah rukun-rukunnya?

Rukun mandi sunat Hari Jumaat ada dua. Pertama niat (dalam hati). Sebagai contoh “aku mandi sunat hari jumaat kerana Allah Taala”. Jangan pula kita ambil pusing soal niat. Yang penting semasa mencurah air ke badan ingatlah bahawa mandi kita ini adalah mandi sunat hari Jumaat, dan kita buat ini kerana Allah SWT semata-mata.

Rukun yang kedua ialah meratakan air ke seluruh anggota badan. Untuk mandi sunat seperti hari Jumaat dan sunat Hari Raya, bahagian anggota badan yang menjadi rukun atau wajib diratakan air adalah sama dengan anggota yang wajib diratakan semasa mandi wajib (hadas besar).

Dengan kata lain rukun mandi sunat dan mandi wajib adalah sama iaitu i) Niat dan ii) Meratakan air. Cuma niatnya yang berbeza mengikut mandi tertentu.

Semoga Allah SWT memberikan Taufik dan HidayahNya agar kita dapat mengamalkannya.

Wallahu ‘a’lam.

Petikan dari sini Suara Taqwa

No comments:

Post a Comment